Isu LTAPP: Guan Eng sahut cabaran debat Ka Siong

Isu LTAPP: Guan Eng sahut cabaran debat Ka Siong

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyahut cabaran berdebat dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung isu projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mahu ia diadakan selepas gangguan perkhidmatan LRT di Lembah Klang pulih dan beroperasi sepenuhnya.

Katanya, Ka Siong harus berhenti berkempen dengan segera dan menumpukan usaha memulihkan perkhidmatan LRT kerana penutupan 16 stesen telah menyusahkan rakyat.

“Ka Siong cabar saya berdebat tentang isu ini pula. Saya sahut cabaran beliau, sila tentukan masa, tempat dan liputan media yang adil.

“Kalau boleh buat di Pulau Pinang atau aturkan siaran secara langsung TV. Saya tunggu anda! Berani kerana benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, beliau tidak akan mengelak untuk berdebat berikutan banyak pembohongan yang dilakukan Ka Siong dengan cuba melepaskan diri dan menuduh orang lain.

Beliau mendakwa Menteri Pengangkutan itu berbohong apabila menuduhnya menjadi punca projek pembesaran LTAPP ditunda kerana kononnya enggan menggunakan peruntukan dalam Belanjawan 2018.

“Ini tidak benar dan satu fitnah jahat seorang menteri kerajaan Barisan Nasional (BN)/Perikatan Nasional (PN) yang gagal.

“Sekiranya ada wang peruntukan pun tak boleh mulakan projek pembesaran LTAPP tanpa kelulusan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Permohonan tidak pernah dibuat kepada MBPP zaman BN. Hanya zaman Pakatan Harapan pada Julai 2019 barulah permohonan dibuat dan kelulusan diberikan oleh MBPP pada bulan Disember 2019,” jelasnya.

Guan Eng berkata, malangnya ia tak sempat dijalankan setelah kerajaan pintu belakang ambilalih dan projek pembesaran LTAPP ditangguhkan oleh Ka Siong sendiri. – Malaysiapost

Komen