Jawatan Timbalan Speaker: Anwar jangan jaja cerita dongeng – Rashid
DATUK Seri Anwar Ibrahim diminta berhenti membuat dan menjaja cerita dongeng mengenai pencalonan Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat itu menegaskan tidak wujud adegan menangis dan merayu untuk mendapatkan jawatan itu seperti dijaja Anwar dalam ceramah Jelajah Harapan di Batu Pahat baru-baru ini.
Menurutnya, bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, ia perlu mendapat undi majoriti daripada Ahli Parlimen, bukan Anwar yang menetapkannya.
“Cadangan untuk saya menjawat jawatan itu dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum undian dilakukan,” katanya.
Jelasnya, apabila beliau menerima undian paling banyak daripada Ahli Parlimen, maka jawatan itu diserahkan kepadanya.
“Sudah-sudahlah nak menipu rakyat kerana orang sekarang bukan bodoh untuk dibawakan cerita dongeng, kononnya beliau paling berkuasa untuk menentukan semua keputusan.
“Ketika itu, beliau sudah tiada sebarang jawatan selain menjadi Ahli Parlimen,” katanya pada program beramah mesra dengan penduduk Parit Gantung.
Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau “menangis dan merayu” untuk mendapatkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Rashid berkata, rakyat sekarang ini hanya mahu tahu apa yang hendak dibawakan oleh seorang wakil rakyat sekiranya terpilih, bukan “cerita karut marut seperti itu”.
“Hakikatnya, PH sudah tidak mempunyai isu (untuk dibangkitkan) atau janji yang boleh diberikan kepada rakyat.
“Janji mereka dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya tinggal janji semata-mata,” katanya. – Malaysiapost