Kewibawaan KJ tidak dapat dipersoalkan – Reezal Merican

Kewibawaan KJ tidak dapat dipersoalkan – Reezal Merican

KEWIBAWAAN calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tidak hanya terbatas diperingkat parlimen sahaja, tetapi juga dilihat bakal menjadi Perdana Menteri suatu masa nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perkara itu disebut dan diiktiraf sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, oleh itu warga Sungai Buloh perlu memastikan Menteri Kesihatan itu dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

“Khairy adalah pemimpin yang tidak hanya terbatas di peringkat Sungai Buloh sahaja. Perdana Menteri sendiri menyebut calon wakil rakyat di Sungai Buloh ini bukan haya wakil rakyat, beliau juga mempunyai kemampuan untuk menjadi Perdana Menteri suatu masa nanti.

“Oleh itu warga Sungai Buloh pada 19 November ini perlu pastikan Khairy menjadi wakil rakyat di Parlimen Sungai Buloh,” katanya ketika berucap pada Program Dialoq Kepimpinan Masyarakat Setempat dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Restoran Chenmak Subang 2, Pinggiran Subang malam tadi.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta calon BN Parlimen Kepala Batas, hadir dalam program berkenaan bagi membantu berkempen dan memberi sokongan kepada Khairy.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut memberi sokongan.

Reezal Merican berkata, Menteri Kesihatan itu telah melakukan tanggungjawab dan amanah dengan baik sebagai Ahli Parlimen Rembau sebelum ini dan diharapkan warga Sungai Buloh dapat melihat kehadiran Khairy sebagai satu getaran tenaga yang baharu.

“Boleh dikatakan kejayaan yang dicapai Khairy sebelum ini adalah tanpa dipersoalkan seperti kejayaan Sukan Sea ketika beliau Menteri Beliau dan Sukan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata
PRU-15 ini adalah pilihan raya yang penting selepas apa yang dilalui dalam tempoh empat tahun lalu.

“Kita berada dalam serba ketidaktentuan, dalam keadaan yang menduga kita. Tiga kerajaan yang ketiga-tiganya mempunyai visi dan perjalanan berbeza.

“Kerajaan pada 2018, malangnya tidak mampu menyediakan kestabilan yang amat penting bagi kehidupan rakyat. Kalau tidak stabil yang menjadi mangsa adalah seluruh rakyat, sebab pelabur asing akan melihat keputusan dibuat oleh kerajaan yang stabil.

“Begitu juga kerajaan selepas itu selama 17 bulan, keadaan juga tidak menentu hingga membawa kepada perubahan kepimpinan,” katanya.

Menurutnya, namun apabila kerajaan berada dibawah kepimpinan Ismail Sabri Yaakob, dapat dilihat negara ke arah lebih baik termasuk memasuki fasa pemulihan pandemik dan ekonomi.

“Negara dijangka akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga tahun depan melepasi sembilan peratus.

“Ini menunjukkan keyakinan yang terbina di bawah kepimpinan Perdana Menteri kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Isyarat ini nak didengar oleh masyarakat dunia luar,” katanya. – Malaysiapost

Komen