KJ ingin bawa agenda baru untuk penduduk bandar

KJ ingin bawa agenda baru untuk penduduk bandar

KHAIRY Jamaluddin ingin membawa satu agenda baharu selepas ini dalam membela rakyat di bandar dan pinggiran bandar yang kini sebenarnya berdepan pelbagai isu.

Menurutnya, bertanding buat pertama kali di kawasan bandar iaitu di Parlimen Sungai Buloh membuka matanya berhubung pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi penduduk bandar.

“Pindah (bertanding) ke kawasan bandar ini memang membuka mata apabila berdepan isu di bandar. Rembau di luar bandar, masalah dan cabarannya sangat berbeza.

“Sebenarnya kita ingat semua senang di bandar. Dulu kita sebagai wakil rakyat minta banyakkan peruntukan untuk luar bandar kerana orang luar bandar lebih susah berbanding orang bandar.

“Tetapi selepas tujuh hari saya berada di Sungai Buloh, saya rasa banyak kawasan luar bandar lebih maju dari kawasan bandar,” katanya ketika berucap di Program Dialog Kepimpinan Masyarakat Setempat di Restoran Chenmak Subang 2, Pinggiran Subang malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan, berkata pelbagai masalah dihadapi penduduk bandar dan pinggiran bandar yang perlukan perhatian.

“Saya pilih cabaran datang ke Sungai Buloh sebab saya nak Umno ambil perhatian nasib orang di bandar selepas ini. Jangan kita hanya tengok luar bandar, sudah tentu luar bandar serta pedalaman penting dan kita tidak abaikan, tetapi 77 peratus daripada rakyat kita sudah urbanisasi, maksudnya 77 peratus rakyat duduk di bandar atau pinggiran bandar.

“Kalau selama-lamanya Umno hanya melihat pada luar bandar, dasar luar bandar dan projek di luar bandar, jadilah masalah yang kita ada pada hari ini

“Saya nak menang di Sungai Buloh terlebih dahulu, kalau saya menang di Sungai Buloh kita akan naik dalam Umno. Kalau dulu Umno ini keutamaannya agenda Melayu luar bandar, selepas ini Umno mesti ada satu agenda yang penting untuk orang bandar. Ia bermula di Sungai Buloh,” katanya. – Malaysiapost

Komen