‘KJ yang minta bertanding di Sungai Buloh’ – Zahid
PENGERUSI Barsian Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Khairy Jamaluddin yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Tegas Ahmad Zahid, tiada siapa memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu bertanding di kawasan berkenaan.
“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” katanya.
Presiden Umno itu berkata demikian ketika ditanya keputusan BN meletakkan Khairy di kawasan yang bukan kubu kuat gabungan itu.
Ditanya mengenai cita-cita Khairy untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan, Ahmad Zahid berkata terlalu awal untuk beliau mengulas perkara itu.
“Perkara itu bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang bukan pilihan raya kali ini,” katanya.
Terdahulu, Khairy yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau bertukar kawasan bagi memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding di Parlimen Rembau.
Sementara itu, ketika melawat Bilik Gerakan BN di Wangsa Maju, Ahmad Zahid menangkis dakwaan pembangkang yang menyatakan BN tidak ada duit untuk berkempen.
Katanya, diakui BN tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak tetapi akan terus berkempen. – Malaysiapost