LRT tergendala: Prasarana akan pastikan perjalanan orang ramai lancar – Ka Siong
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi jaminan akan memastikan perjalanan orang ramai berjalan dengan baik sepanjang tempoh gangguan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).
Beliau berkata, hasil pemantauan terutamanya ketika waktu puncak pagi tadi, mendapati keadaan terkawal di kebanyakan kawasan tumpuan seperti Stesen Masjid Jamek.
“Saya mengikuti secara dekat perkembangan berkaitan penutupan 16 stesen di LRT Laluan Kelana Jaya, bermula 10 November.
“Saya telah mengarahkan Prasarana supaya memastikan perjalanan orang ramai berjalan dengan baik sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata, RapidKL turut mengambil langkah tambahan bagi kemudahan orang ramai termasuk menambah 40 bas perantara percuma bagi membawa penumpang terjejas.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Smart Selangor dan Mara Liner dengan masing-masing menyediakan 20 bas.
“Buat masa ini, pihak Rapid Bus menyediakan sebanyak 83 bas bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi.
“Jumlah bas perantara kepada lebih daripada 120 buah itu adalah bagi menampung penumpang di lima laluan seperti yang disiarkan di media sosial Rapid KL,” katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, beliau akan melawat pusat operasi (OCC) LRT Laluan Kelana Jaya selepas pakar teknikal daripada pejabat Thales di Kanada tiba hari ini untuk melakukan pemeriksaan di OCC Prasarana.
“Pakar dari Singapura telah tiba semalam dan telah memulakan pemeriksaan mereka. Saya akan mendapatkan perincian lanjut berhubung masalah yang berlaku selepas pakar-pakar selesai melakukan pemeriksaan mereka.
“Saya akan memaklumkan perkembangan berhubung perkara ini dari semasa ke semasa. Terima kasih atas kesabaran orang ramai. Kami akan melakukan sehabis baik untuk menyelesaikan masalah ini segera,” katanya.
Terdahulu, RapidKL memaklumkan sebanyak 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula semalam hingga 15 November depan.
Stesen terlibat adalah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi dan Bangsar.
Turut tidak beroperasi Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park. – Malaysiapost