Najib hantar anak bantu kempen BN di Perlis

Najib hantar anak bantu kempen BN di Perlis

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menghantar anaknya, Nooryana Najwa membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Perlis semalam.

Ia dipercayai ada kaitan dengan perpecahan parti itu selepas dua ‘orang kuat’ Umno, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), bertanding atas tiket parti lawan dan Bebas.

Menerusi hantaran Facebook Najib Razak, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan jentera BN kerana memberi peluang dan kesempatan kepada mereka berkempen bersama.

Katanya, akar umbi setia BN kekal bersama berjuang untuk rakyat Perlis.

“Kita doakan untuk kestabilan dan kemakmuran, kemenangan untuk rakyat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Nooryana berkata, ayahnya berpesan supaya menjadikan Perlis sebagai tempat pertama membantu kempen pada PRU15.

Katanya, ia amanat yang diterima daripada Najib dalam satu perjumpaan bersama keluarga di penjara baru-baru ini.

“Ketika saya berjumpa ayah, beliau rasa kecewa dengan apa yang terjadi di Parlimen Arau. Beliau tak suka dengar berita perpecahan di dalam parti,” katanya.

Selain itu, Nooryana dipetik sebagai berkata beliau juga akan menolong calon Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan yang masih dalam edah selepas kematian suami. – Malaysiapost

Komen