NGO gesa SPRM siasat ‘kekayaan’ Rafizi

NGO gesa SPRM siasat ‘kekayaan’ Rafizi

PERTUBUHAN Jalinan Perpaduan Negara menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan dimiliki Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata pihaknya mempersoalkan deklarasi aset calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

Dalam nada menyindir, beliau ‘tabik’ kepada Rafizi kerana mengisytiharkan harta, namun SPRM perlu menyiasat dana yang masuk ke dalam Invoke Solutions Sdn Bhd sedangkan syarikat itu hanya dua kali untung dan berhadapan tiga kali rugi sejak ditubuhkan pada 2016.

Syed Mohammad Imran turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penyertaan Rafizi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya didapati beliau terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram Invoke.

“Sekiranya benar Rafizi terbabit dengan pengubahan wang haram, beliau tidak layak bertanding dan SPR perlu membatalkan penyertaannya dalam PRU15 kerana kerajaan akan berhadapan kerugian untuk mengadakan pilihan raya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Mohammad Imran berkata, pihaknya membuat laporan kepada SPRM berdasarkan beberapa sumber individu yang dibuat melalui media sosial TikTok dan Twitter.

Katanya, SPR digesa melihat perkara ini dari sudut undang-undang termasuk menggugurkan Rafizi daripada bertanding sekiranya terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Sekiranya pengaliran wang itu dari sumber yang sah itu tiada masalah,” katanya.

Pada 2 November lalu, media melaporkan Rafizi menjadi individu pertama mengisytiharkan harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU15 untuk berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans.

Rafizi juga sebelum ini memuat naik di platform TikTok untuk memperincikan bagaimana syarikat pemula atau startup yang diasaskannya, Invoke berjaya mencatatkan keuntungan sejak 2020.

Beliau berkata, keuntungan Invoke mengikut tahun bagi tahun kewangan 2020 ialah RM507,000, manakala tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta). – Malaysiapost

Komen