PM perlu satu penggal penuh untuk laksana ‘Dasar Keluarga Malaysia’

PM perlu satu penggal penuh untuk laksana ‘Dasar Keluarga Malaysia’

DASAR kerajaan Keluarga Malaysia ini adalah baik tetapi memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk direalisasikan, kata Ilham Centre.

Kesimpulan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan Ilham Centre terhadap “Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Dan Dasar Keluarga Malaysia” membabitkan 1,211 responden.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerlukan satu penggal penuh jika ingin menjayakan lagi idea beliau ini
selepas pilihan raya umum ini.

“Pencapaian Perdana Menteri selama 13 bulan tetap harus dipuji. Ini kerana selama perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri telah menunjukkan hasil kejayaan dan membina asas bagi meletakkan semula negara pada landasan yang betul dan perlu bersedia menghadapi gelombang kesuraman ekonomi pada masa mendatang,” kata panel penyelidik Ilham Centre dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penilaian persepsi rakyat kepada Dasar Keluarga Malaysia yang secara umumnya disambut baik walaupun sebahagiannya masih lagi belum jelas mengenai hala tuju negara menerusi dasar ini mampu memberi manfaat kepada mereka secara spesifik.

Menurut kajian itu, responden memberikan peratusan memuaskan terhadap
pelaksanaan Dasar Keluarga Malaysia walaupun hanya 13 bulan Perdana Menteri mentadbir negara.

“Ini kerana, apabila negara melangkah masuk ke fasa endemik, trauma mereka masih lagi
berbekas ketika mana mereka berdepan dengan kehilangan punca pendapatan, hilang pekerjaan
sehingga segelintir mengibar bendera putih kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui selama lebih dua tahun.

“Selain itu, dari aspek politik pula, drama politik berebut teraju
kekuasaan menyebabkan rakyat sangat letih dengan pertembungan kuasa yang berlaku.

“Ini dapat dilihat dengan rendahnya peratusan penyertaan rakyat di dalam dua siri pilihan raya negeri yang berlangsung di Melaka dan Johor,” kata kenyataan itu lagi.

Namun, pendekatan Perdana Menteri yang tidak membawa pendekatan jalur keras, kurang kontroversi serta menghargai peranan perti pembangkang menyebabkan suhu politik tempatan menjadi reda.- Malaysiapost

Komen