Polis tahan 3 suspek, rampas dadah bernilai lebih RM18,000
Ben Ibrahim
POLIS menahan tiga lelaki dipercayai pengedar dadah dalam serbuan di Sungai Isap, dekat Kuantan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohamad Zahari Wan Busu, berkata dalam kejadian jam 10.30 malam itu, anggota dari bahagian siasatan jenayah narkotik menahan sebuah kenderaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai makan.
Katanya, namun ketiga-tiga suspek yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda itu cuba melarikan diri dengan melanggar kenderaan polis.
“Suspek enggan memberikan kerjasama selepas anggota polis memperkenalkan diri dan mahu memeriksa kenderaan berkenaan.
“Pemandu kenderaan itu kemudian bertindak melanggar kereta polis yang berada di hadapan dan belakang pacuan empat roda dinaiki suspek,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu polis melepaskan satu das tembakan amaran ke arah tayar kenderaan dinaiki suspek.
“Suspek kemudian cuba melarikan diri dan meninggalkan kenderaan mereka, namun berjaya diberkas polis,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui sejumlah dadah jenis pil Yaba dianggarkan bernilai RM18, 177.50.
Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM12,630 daripada suspek.
“Soal siasat mendapati suspek mengaku menerima dadah itu melalui perkhidmatan kurier di Dungun, Terengganu, petang kelmarin.
“Semua suspek berasal dari Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu berusia 21 hingga 28 tahun itu direman bagi membantu siasatan.
“Seorang daripada suspek adalah penganggur, manakala dua lagi bekerja sebagai buruh ladang dan mekanik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial Facebook malam tadi. – Malaysiapost