Politik negara perlu perubahan, dorong PAS pilih bersama PN – Hadi

Politik negara perlu perubahan, dorong PAS pilih bersama PN – Hadi

PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) kerana suasana politik negara memerlukan satu perubahan atau islah, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, kerana itu gabungan PN ditubuhkan dengan menghimpunkan PAS, Bersatu, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR).

“Saya menerima banyak soalan tentang kenapa PAS memilih untuk bersama dengan PN. Sebenarnya, jika kita lihat pada hari ini, suasana politik di negara kita memerlukan satu perubahan atau islah.

“Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lepas membuktikan bahawa tiada kerajaan yang kekal di dunia,” katanya menerusi Facebook.

Abdul Hadi berkata, semua kerajaan ada fasa kejatuhan dan kebangkitannya kerana inilah sunnatullah san yang kekal hanyalah kerajaan Allah.

“Jadi, saya menyeru semua pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November nanti dengan memilih pemimpin yang baik serta memberi kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Abdul Hadi berkata, momentum sokongan pengundi terhadap PN semakin baik menjelang hari mengundi, 19 November ini.

Abdul Hadi berkata, menerusi Program Jelajah Presiden PAS selama dua hari di Pahang semalam, menyaksikan masyrakat muda dan tua memberi dokongan kuat kepada PN.

“Berpeluang bertemu tokoh-tokoh masyarakat dan rakyat setempat, sama ada tua mahupun muda yang memberi sokongan dan dukungan kepada PAS dan PN.

“Untuk pilihan raya kali ini, PN melancarkan Manifesto PN Negeri Pahang: ‘Tawaran Pahang Berkat Makmur Sejahtera’

“Ia mengandungi 12 tawaran sebagai komitmen PN untuk menerajui Pahang,” katanya. – Malaysiapost

Komen