PRU15: Beri peluang PN perintah satu penggal – Abdul Hadi
PERIKATAN Nasional (PN) menyeru rakyat memberi peluang kepada gabungan itu mentadbir negara untuk satu penggal bagi membuktikan kemampuan mereka.
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) direhatkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita (PN) minta BN berehat dahulu berhentilah memerintah biar naik kerajaan baharu dan bagi PN memerintah satu penggal tengok bagaimana kita buat.
“Kita telah buktikan program yang kita sebut best, bersih dan stabil… kita sudah buktikan,” katanya di pentas PRU15 di Kampung Kanchong Darat, malam tadi.
Menurut Abdul Hadi yang juga Presiden PAS, gabungan PN telah membuktikan bahawa pemerintahannya adalah bersih dan tidak ada salah laku.
“Kerajaan yang kita perintah Kelantan, Terengganu dan Kedah bersih tidak ada salah laku. Tidak ada rasuah dan salah laku, Terengganu kita perintah tiga kali juga tidak ada salah laku.
“Kedah kita memerintah dua kali tidak ada salah laku, PN yang kita perintah dalam dua tahun juga tidak ada salah.
“Kita sudah buktikan, kes mahkamah dalam pemerintahan kita itu kes dahulu masa BN, kita sambung perbicaraannya. Masa PH memerintah ada kes rasuah berhenti di tengah jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa PN sudah semakin hampir untuk menguasai kerajaan negeri Pahang apabila meramalkan PAS akan mengekalkan lapan kerusi yang pernah dimenangi mereka pada PRU14 lalu.
“Di Perlis kita ambil Datuk Seri Shahidan Kassim, dan di Pahang kita ambil Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib jadi calon PN. Ini isyarat kita nak tembusi Perlis dan Pahang, InsyaAllah kita akan tawan Perlis dan juga Pahang,” katanya. – Malaysiapost