PRU15: Majikan larang pekerja keluar mengundi bakal dikenakan tindakan
MANA-MANA majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, akan dikenakan tindakan.
Malah, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan majikan tidak dibenar mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana keluar mengundi.
Menurutnya, majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 25(1) Akta 5 itu boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun sekiranya disabitkan kesalahan.
“Mereka (majikan) perlu berbincang dengan pekerja pilihan pemberian ‘time-off’, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan itu.
“Pemberian time off boleh diberikan kepada pekerja yang mengundi di kawasan berhampiran, manakala mereka yang mengambil masa untuk ke pusat pengundian masing-masing dibolehkan mengambil pelepasan berganti atau cuti tahunan yang perlu diberikan oleh majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15.
Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala hari pengundian awal pada 15 November. – Malaysiapost