PRU15: Negara tak perlu ‘ustaz tepi jalan’ yang rendah pemikiran – Anwar

PRU15: Negara tak perlu ‘ustaz tepi jalan’ yang rendah pemikiran – Anwar

MALAYSIA tidak memerlukan ‘ustaz tepi jalan’ yang rendah tahap pemikiran memimpin negara, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Presiden PKR, berkata budaya jelek yang ditonjolkan seorang pemimpin PAS itu hanya memburukkan nama dan kesucian Islam di mata masyarakat.

“Saya tegaskan bahawa negara ini tidak perlukan ‘ustaz tepi jalan’ yang rendah tahap pemikiran seperti yang ditonjolkan seorang pemimpin PAS di Semanggol berkenaan fitnah yang dilemparkan kepada saya.

“Inilah yang terjadi apabila pemimpin utama PAS gagal menegur ustaz-ustaz mereka dan akhirnya fitnah serta hujah bebal terus mengakar di dalam parti yang kononnya memperjuangkan Islam,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Anwar menegaskan Malaysia juga tidak memerlukan seorang pemimpin yang gagal menguruskan negara ketika pandemik sekali gus memaksa rakyat menempuh ‘lockdown’ yang panjang.

“Rakyat tidak lagi sanggup menempuh kegagalan seperti mana yang kita saksikan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh PKP paling lama di dunia tetapi jumlah jangkitan dan kematian terus meningkat.

“Ini berbeda dengan negara-negara yang melakukan ‘lockdown’ dengan tempoh yang lebih singkat tempohnya dan keadaan wabak terkawal dengan baik. Apakah ini bukan bukti kegagalan yang nyata,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Anwar, hakikatnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang untuk merubah sistem dan dasar ekonomi kepada yang lebih baik tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Kegagalan terbesar PN adalah melantik 70 orang menteri kabinet (tertinggi dalam sejarah Malaysia) bersama beberapa orang duta khas.

“Pelantikan ini dibuat tatkala rakyat menderita hilang punca pendapatan sehingga ke tahap mengangkat bendera putih. Apakah fungsi dan faedah melantik duta-duta khas ini kepada rakyat dan negara?,” soalnya.

Justeru, Anwar meminta rakyat Malaysia bangkit dan pastikan watak-watak perosak ini dijauhkan daripada tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

“Saya ingatkan rakyat agar buat pilihan bijak bagi menentukan nasib negara untuk tempoh lima tahun mendatang dan juga masa depan.

“PH adalah satu-satunya gabungan yang benar-benar bergerak dan memperjuangkan nurani rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen