PRU15: Umno ‘hanyut’ di Sungai Muar jika ramai keluar mengundi – Muhyiddin
UMNO akan berdepan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya jumlah keluar mengundi tinggi pada 19 November ini.
Keyakinan itu disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pagoh, malam tadi.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu adalah kerana ramai pengundi Umno turun mengundi ketika itu.
“Macam PRN Johor dulu tak ramai keluar mengundi, orang Umno ‘totok’ ada situ. BN menang.
“Tetapi Pilihan Raya ini, katalah 80 peratus pengundi ada keluar undi, yakin Umno akan hanyut masuk ke Sungai Muar,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PRU15 amat penting bukan kerana soal beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata, tetapi untuk rakyat.
“Ini soal rakyat. Ini satu tanggungjawab penting. Tanggungjawab (kita turun) mengundi pada 19 November ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penerimaan rakyat terhadap PN semakin meningkat.
“Trend sokong Melayu semakin meningkat. Boleh menang bentuk kerajaan. Di Pagoh ini bagilah saya peluang terakhir menang,” katanya.
Pada PRU Johor Mac lalu, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga, selepas keputusan penuh PRN Johor.
Untuk rekod, BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Pakatan Harapan (PH) menang (11), PN (tiga) manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi. – Malaysiapost