Terapkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam sistem pentadbiran negara
GABUNGAN Institusi Pondok, Tahfiz, Ilmuan Sunni (GIPTIS) dan Asatizah Malaysia berharap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dapat diterapkan dalam sistem pentadbiran negara.
Wakilnya, Ahmad Hafiz Za’farani, 27, berkata buat permulaan, parti yang meletakkan calon Islam bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) mestilah dipilih dari kalangan mereka yang berpegang kepada manhaj ASWJ.
Pengasas Pusat Kajian Syariah Darul Fitri itu berkata pemilihan calon pula bukan dari kalangan individu berfahaman bertentangan manhaj ASWJ seperti ajaran Wahabi dan syiah atau berpendirian liberal, pluralisme, menyokong LGBT dan ajaran menyeleweng lain yang difatwakan haram.
“Dalam pada itu, parti-parti politik yang bakal mentadbir negara kelak dinasihatkan mengambil berat usaha memperkasakan atau memantapkan Perlembagaan negara dengan elemen ASWJ.
“Ia supaya institusi agama dalam negara kita dapat dimartabatkan dan dipelihara demi agama, bangsa, negara dan generasi akan datang,” katanya pada sidang media, hari ini.
Selain itu, katanya, calon yang bertanding perlu menjauhi sikap fanatik, taksub dan melampau dalam meraih sokongan supaya matlamat memastikan kesejahteraan umat dan negara yang bersifat wasatiyyah dapat dicapai dengan jaya.
Sementara itu, Pengarah Tijarah Hati Murni, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali kesal dengan tindakan sesetengah parti politik yang didakwa mentafsir hukum agama mengikut selera politik masing-masing.
“Ini perkembangan yang buruk kepada negara dan masyarakat Islam apabila hukum yang sepatutnya memandu umat ke arah yang lebih baik diubah mengikut kepentingan satu-satu parti.
“Umat Islam perlu meletakkan warna parti politik di bawah kepentingan agama. Angkat pemimpin Islam terlebih dahulu, elakkan perpecahan yang boleh menjadikan kuasa Islam lemah dan tidak memilih calon berdasarkan warna,” katanya.
Pendakwah bebas, Datuk Ahmad Husam Baderuddin, 32, pula menegaskan, masyarakat dibenarkan menyokong mana-mana parti, namun dinasihatkan supaya menolak golongan berbahaya dalam pentadbiran negara.
“Berbahaya yang dimaksudkan adalah dari sudut akidah, perpecahan umat dan sikap radikal,” katanya. – Malaysiapost