Young Syefura harap sokongan warga Felda
YOUNG Syefura Othman berharap warga Felda dalam kawasan Parlimen Bentong yang ditandinginya, akan memberi undi kepadanya sekali gus menyumbang satu kerusi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata warga Felda khususnya di Mempaga tidak asing lagi baginya kerana pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebelum ini.
Bagi tujuan itu, pemimpin muda DAP itu mengadakan sesi tinjauan mesra di sekitar Felda Mempaga pagi ini bagi bertemu seramai mungkin penduduk di tanah rancangan tersebut.
“Saya mengambil kesempatan berjumpa dengan seramai mungkin penduduk Felda dan peniaga di sana. Alhamdulillah ramai yang mengeteh pagi-pagi.
“Saya mengharapkan sokongan daripada warga Felda Mempaga yang tidak asing bagi saya sejak menjadi Adun Ketari lagi. Bermula dengan peruntukan yang diagihkan, (bantuan) Covid-19, Rumah Terbuka Aidilfitri dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada PRU15 ini, Young Syefura berdepan saingan lima penjuru termasuk bekas menteri dari Barisan Nasional (BN), Tan Sri Liow Tiong Lai. – Malaysiapost