Zahid ulangi pendirian Ismail Sabri kekal calon PM
PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian beliau bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata keputusan tersebut sudah dimuktamadkan dan sepatutnya tidak perlu timbul spekulasi berkaitan perkara berkenaan ketika BN sedang berkempen untuk menang pada PRU kali ini.
“Apabila Umno dan BN buat keputusan, kita akan terus komited untuk menentukan bahawa nama Perdana Menteri kita adalah Perdana Menteri yang sedang melakukan tugas dengan baik di Putrajaya.
“Jangan timbul spekulasi dan ramalan… jangan cucuk mencucuk dalam kalangan kami kerana kami ‘tiada masalah langsung’,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang seperti dilapor media, hari ini.