211 mangsa banjir di Selangor ditempatkan di PPS

211 mangsa banjir di Selangor ditempatkan di PPS

SERAMAI 211 mangsa banjir daripada 49 keluarga ditempatkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman di Klang, Selangor, setakat jam 10 malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata SK Kampung Johan Setia merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 147 mangsa dari 32 keluarga.

“PPS SK Sungai Binjai, Meru pula merekodkan 32 mangsa dari tujuh keluarga manakala PPS di Masjid Al Falah, Kampung Budiman juga menempatkan 32 mangsa dari 10 keluarga.

“Tiga mangsa banjir dikesan positif Covid-19 dan diasingkan di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman, Meru.

“Secara asasnya saya lihat persediaan kita lebih awal iaitu dari segi kemudahan dan khidmat sokongan termasuk kesihatan yang ditempatkan di PPS,” katanya.

Amirudin berkata, kebimbangan banjir yang dinyatakan kerajaan negeri sebelum kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen sudah berlaku bagaimanapun katanya, persediaan Selangor lebih teratur dan tersusun.

Katanya, faktor banjir adalah berikutan kadar hujan yang tinggi yang mana Meru merekodkan taburan hujan sebanyak 104 milimeter (mm).

“Dalam Selangor, kalau (taburan hujan) melebihi 80 ke 90 mm, biasanya boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan ada mendapat laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bahawa punca banjir juga disebabkan oleh longkang.

Justeru, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta untuk segera mengambil tindakan di longkang dan ‘hotspot’ banjir.

Terdahulu, beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat serta parit yang tersumbat, lewat petang semalam. – Malaysiapost

Komen