Agong, Permaisuri ucap tahniah buat pasukan hoki kebangsaan

Agong, Permaisuri ucap tahniah buat pasukan hoki kebangsaan

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan hoki kebangsaan atas kejayaan menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama, semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad Speedy Tigers itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka berdua menzahirkan kesyukuran dan sukacita atas kejayaan pasukan itu menamatkan penantian 39 tahun bagi Malaysia sebagai tuan rumah untuk muncul juara kejohanan.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat kerja berpasukan dan perjuangan tinggi serta aksi sepenuh jiwa yang telah dipamerkan pasukan di perlawanan akhir edisi ke-29 kejohanan berprestij tersebut menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada barisan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Subahan Kamal,” katanya dalam kenyataan di hantaran Facebook, hari ini,

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi tahniah kepada Pasukan Hoki Kebangsaan yang dikendalikan Pengurus Datuk Mirnawan Nawawi dan Ketua Jurulatih A Arulselvaraj serta mereka yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Beliau berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar kejayaan itu menjadi suntikan semangat kepada pasukan hoki kebangsaan untuk bekerja lebih keras dalam persediaan menghadapi Piala Dunia Konfederasi Hoki Antarabangsa, tahun depan.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang hadir memberi sokongan padu pada perlawanan akhir semalam yang berakhir dengan kemenangan bermakna dan lakaran sejarah buat negara,” katanya.

Semalam, skuad hoki negara melakar sejarah menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama apabila menewaskan penyandang juara, Korea Selatan 3-2 dalam final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Ia menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke akhir pada 2014, namun tumpas kepada Australia 8-3. – Malaysiapost

Komen