Dakwaan Anwar tentera undi awal, dibayar RM300 tak benar – PM
DAKWAAN kononnya anggota tentera mengundi di Parlimen Bera dibayar RM300 bersifat fitnah dan merendahkan martabat anggota keselamatan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata tuduhan dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sengaja untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN).
Katanya, Anwar perlu sedar dakwaan itu bersifat jahat dan perlu memohon maaf kepada semua anggota tentera.
“Ini tuduhan jahat dan jangan menghina anggota tentera, malah dia perlu tarik balik tuduhan kerana ia menghina anggota tentera seluruh negara.
“Tiada keistimewaan diberikan untuk anggota tentera mengundi sehingga diberikan imbuhan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok di Bera hari ini.
Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU kali ini.
Ketika berucap di satu majlis di Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
Anwar yang juga calon Parlimen Tambun mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara ini.
Seramai anggota tentera 113,000 termasuk pasangan mengundi awal di 189 pusat mengundi pada 15 November ini. – Malaysiapost