Dasar Keluarga Malaysia beri perhatian kumpulan sasar
Nurul Huda Abhar
DASAR Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diterima baik rakyat kerana dilihat sampai ke kumpulan sasar.
Pensyarah Kanan Ilmu Politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Zaini Othman, berkata Dasar Keluarga Malaysia yang berlangsung selama 13 bulan benar-benar sampai ke golongan memerlukan.
Katanya, fokus utama kerajaan kepada golongan tersebut adalah perkara penting yang dititikberatkan dalam pembentukan Dasar Keluarga Malaysia.
“Perkara pokok yang perlu diberi perhatian adalah kumpulan sasar. Ini kerana keluh kesah utama dalam kalangan rakyat terhadap bantuan-bantuan yang dilaksanakan dalam dasar itu dilihat dari segi pelaksanaan.
“Antara kajian-kajian atau penyelidikan yang dibuat melihat kepada pelaksanaan dasar itu sendiri sama ada ia mengena sasaran atau tidak.
“Ia faktor penting kerana sama ada akhirnya dasar itu membawa kepada ketirisan sosio-ekonomi dan akhirnya gagal menepati matlamat yang diidamkan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Dr Zaini berkata, selain itu pendekatan Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri adalah subjek terbaik dalam mengekalkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Terdahulu tinjauan Ilham Centre berhubung tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia mendapati ia disambut baik oleh rakyat.
Kaji selidik selama tiga minggu, bermula 20 Oktober hingga 6 November itu dilakukan terhadap 1,211 responden.
Ilham Centre memaklumkan, 77.9 peratus responden bersetuju bahawa Konsep Keluarga Malaysia adalah amat baik dalam menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Manakala 59.5 peratus responden mengakui bahawa inisiatif, bantuan dan dasar Keluarga Malaysia telah memberi manfaar kepada mereka.
Kaji selidik itu juga mendapati, sebanyak 82.5 peratus responden berpuashati dengan inisiatif Keluarga Malaysia menerusi program “Jamin Kerja dan Diskaun Saman PDRM.”
Sebanyak 75.8 peratus responden menyatakan semangat Keluarga Malaysia mampu mengekalkan keamanan dan kerukunan rakyat berbilang kaum.
Mengulas mengenai penerimaan rakyat, Dr Zaini berkata Dasar Keluarga Malaysia memikat hati rakyat dengan unsur-unsur bantuan yang berbentuk ‘satu keluarga’.
“Soal sambutan baik oleh rakyat pula, saya berpendapat dasar ini adalah antara yang terbaik.
“Sudah tentu mana mana dasar yang baik, memberi manfaat akan dialu-alukan oleh rakyat,” katanya. – Malaysiapost