DPIM gesa rakyat nilai pengalaman PH, PN dan BN tadbir negara
Shahir Adnan
DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berpandangan bahawa manifesto yang ditawarkan oleh tiga gabungan parti politik terbesar setakat ini, iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mempunyai persamaan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat, membawa negara keluar dari kemelesetan ekonomi dan memberikan penumpuan kepada anak-anak muda.
PN memberi fokus kepada usaha membantu rakyat dalam membina semula Malaysia menjadi negara yang bersih dan stabil. BN menampilkan manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat dalam memberikan mandat bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil.
PH pula berharap untuk membangunkan Malaysia yang lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, berteraskan nilai hormat dan ihsan (madani).
DPIM berharap rakyat menilai manifesto-manifesto yang ditawarkan dan melihat kepada pengalaman ketiga-tiga gabungan parti politik ini mentadbir negara, walaupun dalam tempoh yang singkat.
Ungkapan ‘manifesto bukan kitab suci’ wajar diimbau kembali agar rakyat tidak lupa akan pembohongan ahli politik selepas mendapat kuasa. Namun begitu, DPIM ingin mengajak rakyat Malaysia semua untuk berhati-hati dengan manifesto yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara dan kerakyatan anak Malaysia.
Antara manifesto PH adalah untuk membuat pindaan terhadap Perkara 15(2) bagi menjamin kerakyatan bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia kepada salah seorang ibu atau bapa warga Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) bersetuju sepenuhnya dengan cadangan ini.
Perkara 14(1) (b) dalam Perlembagaan Persekutuan juga akan dilaksanakan pindaan agar ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa dan memberi manfaat berpanjangan kepada anak tersebut.
Namun begitu, PH juga ingin membuat pindaan terhadap undang-undang untuk membolehkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak angkat. Perkara ini perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya, dan bukan sekadar ingin diletakkan di dalam manifesto populis. Apa akan jadi kiranya ada petualang yang menggunakan kewarganegaraan automatik untuk puluhan anak angkat mereka yang akhirnya menjadi perniagaan pemerdagangan manusia?
Akan wujud pula masalah lain seperti kesejahteraan kanak-kanak yang terancam akibat pelbagai ancaman seperti penderaan, gangguan seksual dan juga pengabaian terhadap anak angkat tersebut. Pakatan Harapan diharapkan jangan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat hingga menggadaikan kedaulatan negara dan kesejahteraan anak-anak.
.
Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)