Jangan cakap ‘pusing-pusing’ – Mohd Nizar
CALON Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria membidas calon pembangkang kerana membawa isu rakyat yang tidak relevan lagi.
Beliau memberi contoh calon pembangkang menjaja isu pembinaan Hospital Seri Iskandar yang dikatakan tidak boleh menampung keperluan rawatan dan kesihatan rakyat di bandar Seri Iskandar dan sekitarnya.
Katanya calon pembangkang mendakwa pembinaan hospital bernilai RM145 juta itu sekadar mempunyai kemudahan 76 katil dan empat wad saja dan tidak mampu menampung kira-kira 100,000 penduduk di situ.
“Bukan main berceramah sejak dua tiga hari ini. Sebenarnya status projek ini sudah dibuatnya…udah udah dibuatnya.
“Ada kemudahan 76 katil dengan kos RM145 juta dan capai 5.57 peratus dalam proses pembinaan mengikut penjadualan, tetapi sekarang ini, projek ini mencapai 10 peratus perkembangan pembinaan.
“Maknanya kerja pembinaan hospital Seri Iskandar di tapak seluas kira-kira 18.9 ekar telah melebihi 15 hari bekerja lebih awal. Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat baik,” katanya.
Mohd Nizar berkata, rakyat di bandar Seri Iskandar dan sekitarnya sebenarnya sudah maklum berhubung pembinaan hospital ini yang bakal memberi manfaat apabila dijangka siap pada penghujung 2024 dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada November 2021.
Beliau berkata, pencapaian dan kelulusan projek rakyat seperti pembinaan hospital Seri Iskandar adalah hasil perjuangan rakyat melalui Umno dan BN.
Selain itu, katanya satu lagi isu yang cuba dimanipulasikan ialah projek naik taraf Jalan Seputeh-Parit yang mana beliau sendiri memohon maklumat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa projek berkenaan sudah diluluskan.
“Tidak ada isu pun kerana sudah diluluskan malahan papan tanda projek pun sudah dipacakkan.
“Cuma saya hendak memaklumkan, sesuatu projek itu yang hendak dilaksanakan perlu melalui proses atau tatacara yang betul dan teliti.
“Bagi Jalan Seputeh-Parit ini, ada lagi proses pengambilalihan yang difahamkan membabitkan enam lot tanah.
“Masih belum selesai dan kerajaan masih meneliti nama atau pewaris pemilik lot tanah ini. Perkara ini perlu diteliti dulu. Pedulikan apa yang mereka (calon lawan) katakan kerana mereka tidak tahu atau sengaja nampak tidak tahu,’ katanya.-Malaysiapost