LRT tergendala: Beri perkhidmatan percuma sebulan kepada pengguna terjejas
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) menuntut RadpidKL memberi ganti rugi dalam bentuk perkhidmatan percuma selama sebulan kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, 9 November lalu.
Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata perkhidmatan percuma berkenaan harus terpakai untuk semua jenis pengangkutan awam RapidKL, termasuk LRT Laluan Ampang dan perkhidmatan bas dalam bandar.
“Gangguan perkhidmatan itu memberi kesan buruk kepada penduduk di Ampang yang kebanyakannya bergantung kepada pengangkutan awam itu untuk berulang alik ke tempat kerja.
“Kerosakan dan gangguan ini adalah insiden paling malang yang sepatutnya dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraida yang menyandang kerusi Parlimen Ampang selama tiga penggal berkata, bentuk ganti rugi sedemikian adalah tindakan paling minimum boleh diambil RapidKL.
Beliau berkata, ia memandangkan ramai penumpang terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk urusan seharian berikutan insiden gangguan perkhidmatan LRT tersebut.
“Dengan adanya perkhidmatan percuma itu, ia sedikit sebanyak boleh membantu warga kota yang terjejas menampung perbelanjaan luar jangka.
“Ini kerana mereka terpaksa beralih menggunakan pengangkutan alternatif seperti e-hailing dan teksi yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi, di samping kesulitan lain yang timbul susulan gangguan operasi LRT,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk kawasan Ampang mengenai permasalahan berkenaan.
Justeru, katanya, beliau berpendapat adalah tidak adil untuk mereka menanggung perbelanjaan tambahan berkenaan, lebih-lebih lagi ramai yang baharu sahaja bangkit dalam kehidupan selepas pandemik Covid-19.
“Saya juga meminta kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam RapidKL melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab atau dalam erti kata lain ‘heads must roll’.
“GLC mesti mendahului dalam perihal akauntabiliti, terutama jika melibatkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kritikal seperti pengangkutan awam,” katanya.
Zuraida berkata, ketua GLC boleh mengambil teladan daripada tindakan Datuk Azhar Abdul Hamid yang meletak jawatan serta merta sebagai Pengerusi dan Pengarah Mass Rapid Transit (MRT) Corp.
“(Peletakan jawatan itu) berikutan kemalangan di tapak kerja landasan MRT di Kota Damansara yang meragut nyawa tiga pekerja pada 2014,” katanya.
Sebelum ini, RapidKL memaklumkan sebanyak 16 stesen stesen LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November lalu. – Malaysiapost