Muhyiddin arah jentera PN bantu rakyat terjejas banjir
PERIKATAN Nasional (PN) menzahirkan rasa
bimbang dengan keadaan hujan lebat di beberapa kawasan ketika ini.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keadaan itu menyebarkan paras air yang semakin naik di sungai-sungai utama di Pahang, Perlis, Sarawak, Selangor dan beberapa kawasan di Johor, seperti yang telah diramalkan sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau berharap agensi kerajaan yang berkaitan sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi situasi banjir dan membantu mangsa.
“Saya juga menyeru jentera parti-parti politik dan badan-badan sukarela untuk bekerjasama, tolong membantu memastikan rakyat selamat. Ketepikan soal politik, apa yang penting nyawa rakyat selamat.
“Saya mengerahkan jentera Perikatan Nasional, utamakan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Semoga usaha kita semua diberkati. Saya mendoakan agar penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir terselamat dan kita semua dilindungi dari musibah banjir ini, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost