Musa Aman sifatkan Rahman layak jadi TPM

Musa Aman sifatkan Rahman layak jadi TPM

CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan disifatkan berkelayakan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah.

Perkara itu dinyatakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, merujuk hasrat BN mengenai pelantikan TPM dari Sabah jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Musa berkata, Abdul Rahman memiliki kriteria diperlukan untuk menjawat jawatan nombor dua Kerajaan Pusat itu, lapor Berita Harian.

“Saya percaya dia (Abdul Rahman) memenuhi kriteria untuk memegang jawatan yang sangat signifikan dalam Kerajaan Persekutuan itu dan individu paling tepat mewakili suara rakyat Sabah,” katanya ketika berkempen untuk Abdul Rahman di Kota Belud hari ini.

Musa berkata, Abdul Rahman yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal adalah pemimpin berpengalaman.

Ini kerana katanya, Abdul Rahman pernah menjadi Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi).

Katanya lagi, Abdul Rahman membawa pelbagai pembangunan kerajaan Pusat di Kota Belud sepanjang menjadi menteri sebelum ini, termasuk pembinaan 900 unit program perumahan rakyat di Kampung Ulu Pirasan, menaik taraf Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Belud serta membina Dataran Kota Belud dan Bazaar Rakyat.

“Abdul Rahman juga memainkan peranan penting dalam pelan pembangunan sebuah politeknik di Kota Belud sebelum PRU14 dengan pembangunan fasa pertama berjumlah RM50 juta diluluskan baru-baru ini.

“Beliau juga individu di sebalik pembangunan 150 unit lot kedai di pekan baharu Tempasuk yang dijangka dilancarkan Sabtu ini,” katanya.

Selain itu, Musa berkata, Abdul Rahman bukan asing di Kota Belud memandangkan kedua-dua ibu bapanya berasal dari daerah itu. – Malaysiapost

Komen