Pemulihan ekonomi negara di landasan tepat

Pemulihan ekonomi negara di landasan tepat

DASAR pemulihan ekonomi pasca Covid-19 oleh kerajaan berada di landasan tepat bagi melonjakkan semula ekonomi negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ini terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 14.2 peratus bagi suku ketiga 2022 berbanding 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

Menurutnya, peningkatan positif itu menunjukkan dasar dilaksanakan kerajaan seperti pembukaan semula ekonomi dan sempadan memberi kesan positif kepada negara.

“Kerajaan juga berjaya memacu pemulihan ekonomi pasca Covid-19 didorong pembukaan ekonomi selaras peralihan ke fasa pandemik, memberangsangkan penggunaan swasta dan pasaran buruh.

“Ini membuktikan tuduhan pembangkang bahawa kerajaan gagal (memulihkan ekonomi) ternyata meleset sama sekali,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok di Bera, hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Khairulnizam Mohamad Zuldin.

Pada majlis sama, kira-kira 100 masyarakat Orang Asli hadir memberi sokongan kepada Ismail Sabri yang juga calon BN bagi Parlimen Bera.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kadar pengangguran terus menurun kepada 3.6 peratus September lalu berbanding 4.6 peratus tempoh sama tahun lalu.

“Malah, jualan perdagangan borong dan runcit mencapai RM134 bilion untuk September lalu menunjukkan peningkatan 23.9 peratus berbanding September 2021 dengan nilai dagangan sebanyak RM108.1 bilion.

“Sektor perniagaan juga semakin mengukuh dengan nilai dagangan sebanyak RM161.7 bilion
bagi sektor pembuatan pada September lalu dengan peningkatan sebanyak 19.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen