PRU15: ‘Hukum angkat pemimpin wakili Islam, fardu ain bukan kifayah’ – Hadi

PRU15: ‘Hukum angkat pemimpin wakili Islam, fardu ain bukan kifayah’ – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hukum mengangkat pemimpin yang mewakili Islam dalam pilihan raya merupakan fardu ain (wajib) kepada setiap umat Islam.

Justeru, Abdul Hadi berkata, umat Islam perlu memilih calon yang benar-benar berwibawa untuk memimpin kerana ia amanah yang berat dan tidak layak diberikan kepada orang yang lemah.

“Umat Islam hendaklah mengambil berat akan kewajipan mengundi, kerana urusan politik tidak boleh dipisahkan daripada agama. Malah, umat Islam akan dipertanggungjawabkan di akhirat tentang urusan pemilihan pemimpin.

“Islam sentiasa mendahulukan jalan perdamaian, antaranya ialah melalui demokrasi berparlimen,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Abdul Hadi menyantuni rakyat dan calon Perikatan Nasional (PN) di Wilayah Persekutuan dalam Siri Jelajah Presiden PAS ke seluruh negara sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, atas sebab berkenaan, PAS konsisten menyertai setiap pilihan raya dan tidak sekali-kali memilih jalan reformasi yang ingin menggulingkan kerajaan dengan cara yang salah.

“Maka, menjadi fardu ‘ain hukumnya ke atas tiap-tiap orang Islam untuk mengangkat pemimpin yang mewakili Islam dalam pilihan raya, bukannya fardu kifayah,” katanya.

Untuk rekod, hukum fardu ain adalah wajib dilakukan oleh setiap individu muslim, manakala fardu kifayah pula menjadi kewajipan secara umum sahaja bagi golongan tertentu. – Malaysiapost

Komen