PRU15: ‘Jangan kerana mahu cuti 2 hari, negara tergadai’ – Zahid pesan pengundi

PRU15: ‘Jangan kerana mahu cuti 2 hari, negara tergadai’ – Zahid pesan pengundi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi supaya tidak ‘terpesona’ dengan tawaran cuti dua hari Perikatan Nasional (PN) sehingga sanggup menggadai negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid berkata, sebelum ini rakyat pernah menikmati cuti dua hari daripada Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14, namun kesudahannya sebahagian rakyat mendapat `cuti panjang’ disebabkan hilang pendapatan atau pekerjaan.

“Jangan hanya kerana mahu dapat cuti dua hari ditawarkan PN selepas PRU15 kesudahannya dapat ketidakstabilan dan ‘ketidakmakmuran’ berpanjangan.

“Jadikan pengalaman kerosakan sosioekonomi lalu sebagai ikhtibar apabila dihidangkan sekali lagi dengan tawaran yang sama oleh lawan Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, jangan disebabkan terpesona dengan cuti singkat 48 jam itu, rakyat terpaksa menempuh musibah untuk tempoh yang lama.

“Berbanding tawaran BN cuti bergaji pada hari lahir bersifat komprehensif dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta mengiktiraf sumbangan golongan pekerja.

“Masa tidak menunggu kita. Jangan kata 48 jam yang ditawarkan, lima jam pun sudah cukup untuk lawan BN menambahkan lagi kerosakan kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi tahun depan dan negara memerlukan persiapan rapi untuk berdepan cabaran berkenaan.

“Malaysia hampir pasti tidak terlepas daripada tempiasnya dan segala perancangan untuk mendepaninya perlu diperkukuh dan distabilkan.

“InsyaAllah satu-satunya yang dapat memastikan kestabilan dan pengukuhan itu dengan mengembalikan kerajaan BN yang mutlak dan dominan pada 19 November ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan cuti umum sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.

Muhyiddin berkata, cuti umum itu adalah pada 20 November (Ahad) bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan 21 November (Isnin) bagi negeri lain. – Malaysiapost

Komen