Rafizi harap Tuan Ibrahim teruskan niat saman
RAFIZI Ramli mengesahkan beliau telah menerima satu Surat Tuntutan dari Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan yang mendedahkan pelantikan Mangkubumi Sdn Bhd dalam beberapa projek besar di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, menghantar Surat Tuntutan bukanlah bermakna tindakan saman telah diambil.
Secara umumnya, katanya, satu pihak menghantar Surat Tuntutan ke satu pihak yang lain untuk mendapat penjelasan dan memaklumkan hasrat pihak itu untuk mengambil tindakan saman sekiranya tuntutan-tuntutan tidak dipenuhi.
Tambahnya lagi, tindakan saman hanya bermula apabila saman itu difailkan di mahkamah.
“Pengalaman saya selama ini menunjukkan hanya separuh dari surat-surat tuntutan yang dihantar kepada saya berakhir dengan tindakan saman. Surat-surat tuntutan dari 1MDB contohnya tidak pernah berakhir dengan tindakan saman.
“Oleh itu, selepas peguam saya menjawab Surat Tuntutan dalam tempoh seminggu ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man meneruskan niatnya untuk menyaman saya di mahkamah.
“Saya tidak mahu Surat Tuntutan yang dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen PRU15, tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, beliau mahu ke mahkamah kerana ada bukti yang kukuh mengenai pendedahan saya itu.
“Sejak saya membawa isu ini ke pengetahuan umum pada hari Isnin lalu, reaksi tidak rasmi dan kenyataan rasmi Tuan Ibrahim cuba memberi gambaran berikut:
• Bahawa isu yang saya bawa (iaitu projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 akan diberikan secara rundingan terus pada harga RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd) adalah rekaan dan palsu
• Kenyataan saya bahawa proses untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus telah dan sedang berlaku adalah palsu
• Bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man tidak tahu apa-apa mengenai keputusan untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus bagi sebuah projek yang sebegitu besar
“Oleh itu, hari ini saya tampil menunjukkan bukti kukuh bahawa projek tebatan banjir Kuala Langat Fasa 2 berjumlah RM2 bilion ini sebenarnya telah pun diluluskan secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd,” katanya lagi.
Beliau juga menyertakan petikan surat dari Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang bertarikh 7 Oktober 2022.
Rafizi juga sekali lagi mendakwa projek itu telah dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PRU15.
“Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim tidak berselindung di sebalik satu Surat Tuntutan untuk mencuci tangan dari tanggungjawab beliau mengenai projek ini.
“Sekiranya Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dalam tempoh 10 hari dari sekarang, saya berhasrat membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa mengenai peranan Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Tuan Ibrahim mengenai peranan, fungsi dan keterlibatan mereka dalam kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
“Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan SPRM, saya berharap beliau bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya PH membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam Tuan Ibrahim memberi tempoh tujuh hari kepada Rafizi untuk memohon maaf dan mencadangkan jumlah ganti rugi kepadanya.
Tuntutan itu dibuat setelah Rafizi didakwa memfitnahnya dalam isu kontrak tebatan banjir Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bernilai RM2 bilion.
Surat tuntutan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid. – Malaysiapost