Reezal Merican lancar Aku Janji Demi Kepala Batas
CALON Barisan Nasional (BN) Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebentar tadi telah melancarkan Aku Janji Demi Kepala Batas sebagai tawaran khusus kepada rakyat kawasan berkenaan.
Beliau yang juga penyandang kerusi parlimen berkenaan berkata, Aku Janji Demi Kepala Batas mengandungi tujuh teras utama, 25 ikthiar dan 41 gerak kerja.
“Saya pilih aku janji ini kerana tidak mahu lagi guna perkataan manifesto sebab ia sering disebut, dikatakan ia bukan kitab suci. Manifesto dikatakan boleh sahaja dimungkiri tetapi aku janji ini lebih meyakinkan, lebih kuat.
“Sebagai pemimpin dengan amanah yang diambil, saya mahu diikat dengan amanah ini kerana berada di posisi ini bukan sekadar untuk diangkat, dimuliakan tetapi untuk dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab,” katanya ketika melancarkan Aku Janji Kepala Batas yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Tujuh teras utama berkenaan ialah membangunkan infrastruktur prasarana rakyat dan perumahan; mengukuhkan hubungan sosial dan komuniti; merancak ekonomi setempat dan membangunkan modan insan dan pendidikan
Selain mengimarahkan syiar Islam dan pembangunan rohani; agenda anak muda dan agenda pembangunan wanita Kepala Batas.
Reezal berkata iktiar yang terkandung dalam teras pertama ialah menaik taraf dan membina baharu kemudahan dan infrastruktur awam; menaik taraf infrastruktur jalan dan perparitan; dan mempergiat Program Pemilikan Perumahan (HOPE).
“Ikhtiar teras dua pula memperkukuh kebersamaan komuniti; menambah baik kawalan keselamatan dan ketenteraman awam; memperkukuh hubungan antara kaum keluarga Kepala Batas dan mempertingkat kesejahteraan komuniti.
“Ikhtiar teras tiga ialah membantu peningkatan ekonomi kumpulan nelayan, pesawah padi dan petani; membangun produk eko-pelancongan dan tarikan pelancong; menggalak aktiviti perniagaan setempat; meningkatkan kemahiran ekonomi isi rumah dan meningkatkan peluang pekerjaan warga Kepala Batas.
“Bagi ikhtiar teras empat memastikan prasarana terbaik bagi pendidikan awal anak-anak; membina baharu dan menaik taraf prasarana pendidikan rendah dan menengah; memperkukuh institusi pengajian tinggi dan
memperkenal program Kota Pendidikan Kepala Batas,” katanya.
Bagi teras lima, Reezal berkata ikhtiar beliau ialah membina baharu dan menaik taraf masjid serta surau;
memperkukuh institusi masjid sebagai tonggak syiar Islam dan menjadikan masjid pusat aktiviti komuniti.
Manakala teras enam pula katanya, menyedia dan meningkatkan prasarana sukan dan kemudahan aktiviti anak muda; memperkukuh aktiviti pembangunan belia dan anak muda; mempergiat program berteraskan keusahawanan dan penyediaan peluang perniagaan dan mempergiat inisiatif kebajikan anak muda.
“Ikhitar teras tujuh dengan memperkukuh inisiatif pemerkasaan wanita dan mempergiat inisiatif kebajikan wanita muda, wanita dan ibu tunggal,” katanya. – Malaysiapost