Safee Sali meriahkan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera esok
BEKAS penyerang Harimau Malaya, Safee Sali bakal memeriahkan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, esok.
Pemain berusia 38 tahun itu akan menyertai pasukan juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY Musim Ke-10, Team Haq Esports Club dalam acara Santai eGames sempena karnival itu.
Safee yang juga duta Team Haq Esports Club mengakui teruja dapat menyertai program yang akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya gembira diberikan peluang untuk turut serta dalam acara bersama kepemimpinan tertinggi negara dan Keluarga Malaysia yang lain di Bera, esok.
“Selain dapat mendekatkan diri dengan peminat e-sukan, pada masa sama kita dapat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.
Kehadiran penyerang KL City FC itu ke Bera juga bagi memberi sokongan kepada industri e-sukan yang semakin berkembang di Malaysia.
Sebelum ini Safee pernah menyatakan hasrat untuk menubuhkan pasukan e-sukan sendiri jika mempunyai peluang memandangkan indusri sukan itu ketika ini mencetus fenomena luar biasa.
“Golongan belia khususnya cukup minat dengan permainan video e-sukan dan ia perkembangan positif terutama apabila industri ini menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya.
Selain Safee dan Team Haq, Datuk Amy Search dan bintang muda Anna Jobling bakal menggegarkan Konsert Anak Muda Gegor Bera di Dataran Kerayong, Bera, bermula jam 8.30 malam esok.
Turut berkongsi pentas ialah beberapa penyanyi terkenal seperti Hael Husaini, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh dan Lock Up.
Karnival dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp) itu, turut melibatkan tawaran 2,000 kerja menerusi acara JaminKerja. – Malaysiapost