Saya bukan orang kegemaran Zahid kerana bukan ‘yes man’ – KJ
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Khairy berkata, beliau menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan berhubung kerusi untuknya bertanding namun tidak mendengar apa-apa keputusan daripada mereka, sebelum memutuskan mengambil inisiatif sendiri.
“Saya ditinggal begitu saja. Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau jadi pada waktu itu saya tiada pilihan, saya ambil inisiatif sendiri.
“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan (Tan Sri) Noh Omar (Pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran).
“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh),” katanya pada sidang media.
Khairy mendakwa, beliau bukan ahli parti kesayangan Ahmad Zahid dengan mendakwa dirinya mungkin bukan menjadi pilihan calon Parlimen Bagan Datuk itu.
“Saya bukan orang kegemaran Presiden kerana saya bukan ‘yes man’,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Jelasn Ahmad Zahid, tiada siapa memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu bertanding di kawasan berkenaan.
“Beliau yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” katanya. – Malaysiapost