Undi BN,PH masuk neraka: PAS masih jumud dengan politik sempit

Undi BN,PH masuk neraka: PAS masih jumud dengan politik sempit

PEMUDA Umno mengkritik ceramah seorang individu dipercayai pemimpin PAS, mendakwa pengundi yang memilih Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk ke dalam neraka.

Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata beliau berharap penceramah yang dipercayai dari Sik, Kedah, itu membuat permohonan maaf kerana telah memecah belah ummah.

“Hari ini tersebar satu rakaman ceramah Perikatan Nasional (PN), yang saya percaya penceramahnya adalah dari PAS dan dilakukan di Sik, Kedah, yang memberi hukuman neraka bagi undi PH dan BN.

“Justeru, kita berharap pihak berkuasa agama iaitu Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), di mana kejadian ceramah ini berlaku mengambil tindakan terhadap penceramah ini.

“Kita juga mendesak apakah pendirian PAS tentang kandungan ceramah ini. Apakah masih bersetuju dengan ceramah ‘syurga dan neraka’ ini ataupun mereka turut mengkritik tindakan penceramah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Mohd Johan berkata, beliau terkejut kerana masih ada lagi penceramah yang begitu mudah menghukum neraka kerana mengundi parti tertentu.

“Ia seolah-olah tuhan telah memberi kuasa kepada mereka menentukan siapa yang masuk syurga atau neraka.

“Aliran ceramah syurga dan neraka, yang dipopularkan PAS, sekitar 70an dan 80an, saya fikirkan sudah ditinggalkan pemimpin parti berkenaan.

“Tetapi masih ada saki baki yang menganut kumpulan yang gemar menghukum syurga dan neraka. Fikirkan PAS moden sekarang sudah tidak menjual agama bagi mendapat undi,” katanya.

Terdahulu, tular satu klip video seorang individu dipercayai pemimpin PAS yang mendakwa sesiapa yang memangkah BN atau PH pada PRU15 ini akan masuk ke dalam neraka.

Difahamkan, individu berkenaan berkata demikian dalam sebuah ceramah politik dalam kempen PRU15 di Sik, Kedah, malam tadi. – Malaysiapost

Komen