‘Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat’ – Hadi

‘Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat’ – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib memperkasakan politiknya bersama Islam.

Beliau berkata, Melayu Islam adalah teras kepada negara bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara.

Ia kerana, katanya Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan beraqidah Islam. 

“Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu, Abdul Hadi memetik pesanan Rasulullah SAW berkenaan memilih pemimpin yang baik dalam Islam.

“Rasulullah SAW pernah memberi amaran sekiranya kita meninggalkan kewajipan memilih pemimpin yang baik untuk melaksanakan amar ma‘ruf nahi mungkar, sesungguhnya Allah SWT pasti akan meletakkan orang-orang yang jahat menjadi pemimpin kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata menjadi kewajipan umat Islam menjalankan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seteliti mungkin dan jangan diambil secara sambil lewa. 

“Moga-moga Allah SWT menyelamatkan kita daripada segala bencana. 

“Bukan sekadar sejahtera di dunia, bahkan yang lebih penting ialah selamat daripada azab yang pedih di akhirat,” katanya – Malaysiapost

Komen