Annuar Musa tawar diri bantu bola sepak Kelantan

Annuar Musa tawar diri bantu bola sepak Kelantan

TAN Sri Annuar Musa menawarkan diri untuk membantu pasukan bola sepak negeri itu, musim depan.

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu sedia membantu pasukan negeri itu yang kini mempunyai dua pasukan bola sepak iaitu Kelantan FC dan Kelantan United Football Club (KUFC).

Katanya, kesediaan itu merangkumi soal kewangan mahupun pentadbiran pasukan bagi bersaing di perlawanan Liga Super musim depan.

“Saya nak cuba bantu, tak kira Kelantan FC atau KUFC, kita tak nak pasukan negeri jadi belasahan tapi nak tampilkan pasukan jadi pasukan disegani, hidupkan semula semangat Kelantan.

“Setakat yang ada sekarang tak cukup, mungkin untuk Liga Perdana masih okay, tapi untuk Liga Super adalah satu level (tahap) yang lain,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikan pada sambutan ulang tahun sedekad kejuaraan TRW Treble 2012 di Restoran Ikan Bakar, Kota Bharu hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Rosmadi Ismail, bekas pengurus TRW, Azman Ibrahim dan beberapa bekas pemain TRW seperti Indra Putra Mahyuddin, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Zairul Fitree Ishak, Khairul Izuan Rosli dan ramai lagi.

Annuar berkata, dia sudah mengadakan satu pertemuan bersama pihak berkaitan namun perlu mengadakan perjumpaan bersama pemilik kedua pasukan itu yang kini sudah diswastakan.

“Jawatan tak penting, saya dah puas merasa jawatan yang ada, kita nak kembalikan semangat gelombang merah musim depan sebab Kelantan dah ada asas,” katanya.

Annuar berpengalaman 15 tahun mengemudi bola sepak Kelantan hingga berjaya merangkul juara bagi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia pada tahun 2012 berkata, dengan pengalaman yang ada dia mahu pasukan negeri ini kembali memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

“Saya boleh bagi formula, bab bola tak boleh nak jaga bola sahaja tapi keseluruhan ekosistem bola terutamanya pemain ke-12 iaitu penyokong, pasukan kejurulatihan, penjenamaan, pemasaran dan nak tak nak pasukan yang baik harus buat pelaburan yang besar,” katanya.- Malaysiapost

Komen