Roslin Hashim kemalangan

Roslin Hashim kemalangan

BEKAS pemain badminton negara, Roslin Hashim terpaksa melupakan aktiviti sukan itu buat seketika selepas terbabit dalam kemalangan di Tol Bukit Jelutong semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata kejadian berlaku di kawasan tol berkenaan ketika beliau menunggang motosikal berseorangan.

“Ia berlaku ketika saya hendak memasuki lorong motosikal yang berada di kedudukan paling kiri. Bagaimanapun, saya baru perasan saya termasuk di lorong kereta dan terus membrek secara mengejut.

“Ketika membrek mengejut saya terjatuh dan nasib baik tidak ada kereta dari belakang ketika itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Roslin berkata ketika kejadian beliau tidak menunggang dengan laju hanya dengan kelajuan di antara 50 kilometer per jam (km/j).

“Saya jatuh sendiri dan terseret mengakibatkan luka dan calar di bahagian lutut, tangan kiri dan kanan. Selepas itu saya terus ke hospital untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Alhamdulillah tidak ada kecederaan lain yang serius walaupun saya berasa sakit di bahagian rusuk. Mungkin kesakitan itu disebabkan hentakkan,” katanya.

Roslin berkata, buat masa sekarang beliau hanya berehat di rumah dan mungkin hanya akan menyambung sebarang aktiviti berkaitan badminton tahun depan.-Malaysiapost

Komen