Pengundi ditawar RM1,000 di Pagoh, dakwa BN

Pengundi ditawar RM1,000 di Pagoh, dakwa BN

BARISAN Nasional (BN) mendakwa pengundi di Parlimen Pagoh ditawarkan wang tunai sehingga RM1,000 oleh parti lawan untuk menyokong mereka pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Pengarah Jentera PRU15 BN Pagoh, Ismail Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk sekitar terutama di kawasan FELDA sejak semalam.

“Terdapat usaha cara berkempen yang tidak sihat ditampilkan oleh parti tertentu. Perkara ini kami dapat daripada pengundi di kawasan FELDA dan beberapa kampung.

“Kami amat kecewa dengan keadaan ini. Pengundi di Pagoh tidak sewajarnya diajar dengan politik kotor. Sesebuah parti itu tidak sewajarnya menggunakan cara tidak sihat ini untuk meraih undi,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, hari ini.

Ismail yang juga Pengerusi BN Pagoh berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan bukti bergambar dan akan melaporkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya, berdasarkan aduan yang diterima, ‘ganjaran’ terbabit di agihkan kepada pengundi dari rumah ke rumah.

Ismail berkata, pihaknya akan mendedahkannya sebaik sahaja bukti bergambar diterimanya.

“Aduan diberikan kepada saya, (mereka) diberi RM1,000 satu rumah. Saya tiada masalah nak sebut perkara ini kerana orang FELDA yang memberitahu saya.

“Usaha meraih undi seperti ini pernah berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan saya berharap pihak berkuasa dapat memantau aktiviti tidak sihat ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen