Menjelang hari mengundi BN, Ahmad Zahid terus diserang

Menjelang hari mengundi BN, Ahmad Zahid terus diserang

Nahar Tajri

MENJELANG hari pengundian Sabtu ini, liputan mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terutama di media sosial kian tertumpu kepada calon, parti dan gabungan yang bertanding kali ini.

Antara yang paling menjadi tumpuan warga netizen adalah gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebagai salah satu gabungan besar selain Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada PRU-15 ini, BN dilihat menjalankan kempen dengan diketuai Ahmad Zahid.

Pemimpin parti terbesar dalam negara itu meletakkan sasaran untuk BN kembali dominan memenangi pilihan raya kali ini, sekaligus dapat membentuk kerajaan yang stabil

Namun perjalanan tidak pernah mudah buat Presiden Umno itu kerana ‘peluru’ musuh datang dari segenap sudut termasuklah di media massa dan media digital.

Zahid diserang dari depan dan belakang bukan saja dari luar malah dari dalam parti sendiri dan serangan dihadapinya sudah bermula sebelum tempoh kempen PRU ditetapkan lagi.

Ahmad Zahid mendakwa ditekan dengan pendakwaan terpilih yang bersifat politik hanya kerana beliau enggan akur kepada kemahuan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menjelang Sabtu ini, serangan semakin hebat dilihat melalui media sosial yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menjatuhkan reputasi beliau yang sedia tercalar.

Ahmad Zahid didakwa mempunyai pakatan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun sebaliknya lebih nyata wujudnya pakatan ‘khemah besar’ antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Tindakannya menggugurkan pemimpin Umno termasuk ‘warlord’ seperti penyandang Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta kerusi Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikritik hebat.

Namun kemarahan akar umbi dilihat semakin reda dan mula memahami hasratnya untuk mewajahkan semula Umno.

Ahmad Zahid yang mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk, turut dikaitkan dengan rasuah namun sebenarnya sudah di bebas dan dilepaskan oleh mahkamah.

Beliau kini berdepan dengan kes pengubahan wang haram kerana ada pihak memberi sumbangan dan diterima melalui yayasan miliknya tetapi diuruskan oleh pihak peguam melalui Tetuan Lewis and Co.

Ahmad Zahid diserang bukan kerana dirinya, tetapi diserang kerana beliau adalah Presiden Umno dan Pengerusi BN. – Malaysiapost

Komen