PRU15: Wanita dalam idah harus keluar mengundi – Mufti Perak

PRU15: Wanita dalam idah harus keluar mengundi – Mufti Perak

WANITA dalam tempoh idah harus keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini dengan beberapa syarat yang wajib dipatuhi.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, berkata berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan ‘suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib’ dan proses mengundi sempena PRU15 juga dianggap sebagai suatu kewajipan yang perlu dilakukan sendiri tanpa boleh diwakili pihak lain.

“Di samping itu ia termasuk dalam kategori wajib mudayyaq iaitu kewajipan yang mesti dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan oleh kerana tempoh mengundi adalah terhad dengan tempoh masa yang ditentukan dan tidak boleh ditangguhkan pada masa lain.

“Maka Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) berpandangan harus hukumnya bagi wanita yang dalam idah keluar mengundi dengan mematuhi beberapa dhowabit (parameter),” katanya menerusi Irsyad (panduan) Hukum Bil.32 JPNPk yang disiarkan di Facebook JMNPk, hari ini.

Idah adalah tempoh tertentu bagi seorang wanita menunggu sehingga selesai tempohnya semata-mata mematuhi perintah Allah SWT atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan dan wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh idah.

Katanya, antara parameter yang harus dipatuhi bagi wanita dalam idah yang keluar mengundi adalah menjaga penampilan dan adab dalam berkabung; menjauhkan perkara yang mengundang fitnah; mengelakkan berhias dengan memakai gelang atau rantai; tidak memakai wangian dan menghias wajah secara berlebihan.

Selain itu, wanita berkenaan dikehendaki keluar rumah untuk menyelesaikan segala keperluan urusannya itu (mengundi) pada kadar segera di siang hari dan tidak sengaja melewat-lewatkannya manakala pada sebelah malam hendaklah berada dan bermalam di rumahnya. – Malaysiapost

Komen