‘Jangan salah pangkah’

‘Jangan salah pangkah’

Aiman Hanif

ESOK lebih 21 juta pemilih berdaftar akan membuat keputusan memilih wakil rakyat mereka khususnya kerajaan yang bakal memimpin negara.

222 kerusi Parlimen menjadi rebutan 12 parti politik bertanding tidak termasuk calon Bebas.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini mencipta sejarah apabila majoriti kerusi Parlimen menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru.

Sembilan penjuru merupakan pertembungan paling banyak dalam sejarah PRU-15 kali ini, khususnya di kawasan Semenanjung.

Pertembungan sengit dalam PRU-15 ini menyaksikan situasi sukar untuk diramal, apatah lagi mood pengundi muda yang sukar dibaca.

Badan bebas yang membuat analisis menjangkakan tiada parti akan dapat membentuk kerajaan secara sendirian, melainkan membentuk kerjasama dengan parti politik lain.

Oleh itu pengundi perlu membuat keputusan yang tepat dalam PRU-15 ini. Analisis perlu dibuat sebaik mungkin dengan memahami segala manifesto yang ditawarkan parti bertanding.

Jangan tersalah pangkah, jangan ulangi kesilapan lalu. Ambil iktibar cerita Allahyarham P. Ramlee, “tersalah pangkah dapat najis”.

Rakyat Malaysia telah mempunyai pengalaman berada dalam kerajaan BN, Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu mereka dapat menilai kerajaan mana yang berupaya membela nasib rakyat dan mewujudkan kestabilan politik serta kerharmonian negara.

Jangan tersalah pangkah, kelak “manifesto bukan kitab suci” apa yang dijanjikan tak perlu dilaksanakan.

Jangan tersalah pangkah lagi, silap-silap bantuan kepada rakyat dikurang yang dapat hanyalah “RM30 ringgek”.

Fikirlah semasak-masaknya sebelum memangkah, fikir nasib anak bangsa, fikirkan tentang masa depan negara, jangan kita menang sorak kampung tergadai.

Jangan biarkan diri kita “dikencing” sekali lagi oleh orang politik. Gunakan kuasa kita sebaik mungkin untuk memastikan kerajaan yang dibentuk dapat memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terpelihara.

Satu undi anda cukup bermakna buat negara. Pilihlah parti yang benar-benar boleh menjamin kestabilan negara.

Selamat mengundi.- Malaysiapost

Komen