Mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam

Mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung esok, umat Islam diingatkan kewajipan untuk mengundi dalam khutbah Jumaat hari ini.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Kewajipan mengundi dalam pilihan raya’ terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini, menegaskan penyertaan pilihan raya itu sendiri merupakan suatu kewajipan.

“Dalam sistem politik hari ini, konsep khalifah dan pilihan raya, syariat memberikan hak saksama kepada rakyat memilih pemimpin. Penyertaan pilihan raya itu sendiri merupakan suatu kewajipan.

“Tujuan pilihan raya adalah untuk memastikan urusan umat diputuskan mengikut undang-undang dan mewujudkan peluang kepada semua untuk ikut serta dalam proses membuat keputusan.

“Sistem demokrasi itu sendiri adalah timbul dari prinsip syura,” menurut teks khutbah berkenaan.

Khutbah Jumaat itu turut menyatakan disebabkan penyertaan umat secara keseluruhan tidaklah praktikal, maka dilaksanakan konsep perwakilan, iaitu memilih wakil di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat atau parlimen, manakala parlimen bertanggungjawab mentadbir negara.

“Sistem perwakilan ini adalah diterima Syarak berdasarkan sunnah Nabi secara Qauliyyah (perkataan) dan fi’liyyah (perbuatan).

“Umat Islam mesti memilih wakil mereka yang akan melaksanakan kuasa politik dan menguatkuasakan undang-undang.

“Merekalah yang berhak menyerahkan kuasa politik kepada seseorang atau golongan dalam masyarakat. Maka hak memilih pemimpin adalah kewajipan agama,” menurutnya.  

Beberapa nasihat syarak kepada para pemilih turut diberikan iaitu pastikan wakil yang dipilih dan pangkah ialah calon yang bermanfaat bagi kebaikan dan menjauhkan daripada pelbagai bahaya yang akan menimpa atau kerosakan yang mungkin berlaku kepada diri, agama dan negara.

“Pengundi wajib memilih orang yang memiliki kelayakan iman, ilmu dan akhlak. Apatah lagi pengundian merupakan persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat.

“Tidak memilih calon yang mewakili parlimen seorang Muslim yang memiliki sifat melakukan maksiat secara terang-terangan memusuhi Allah, Rasul dan orang beriman,” katanya.

“Untuk itu kita mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan demi menjamin kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan sebagaimana kaedah fiq,” katanya.  

Khutbah Jumaat itu mengingatkan mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam untuk membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab.

“Jika mereka gagal, maka kepentingan orang mukmin terabai. Umat Islam mesti melaksanakan perundangan dan permuafakatan.

“Pilihan raya adalah cara yang penting bagi memenuhi kewajipan ini. Demikian prinsip memilih wakil rakyat atau parlimen adalah suatu kewajipan berdasarkan kaedah fiqh,” katanya. – Malaysiapost

Komen