Perutusan Hari Mengundi Pengerusi Barisan Nasional

Perutusan Hari Mengundi Pengerusi Barisan Nasional


Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
18 November 2022

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

In Sha Allah tidak sampai 12 jam dari sekarang, semua pengundi berdaftar di Malaysia akan melaksanakan amanah mereka membuang undi bermula jam 8.00 pagi esok.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengulangi Barisan Nasional telah membentangkan, 99 Perancangan Amal dan Usaha atau ringkasnya PADU, sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia. PADU adalah tawaran yang praktikal, munasabah dan mampu dilaksanakan.

PADU juga adalah perancangan Barisan Nasional untuk meneruskan legasi pembinaan negara dan bangsa Malaysia tercinta. Melaluinya, Barisan Nasional meletakkan perancangan untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Pada masa yang sama, ia merupakan solusi untuk melonjakkan semula pencapaian yang tergendala akibat perubahan landskap politik sejak PRU14.

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

MENGHIDUPKAN SEMULA GELOMBANG BIRU

Pilihan Raya Ke-15, adalah wadah untuk Barisan Nasional mendapatkan kembali mandat rakyat. Mandat ini penting kerana mereka, yang diberikan peluang membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 lalu, telah memburukkan lagi keadaan negara.

Ramai rakyat amat merindui kegemilangan Barisan Nasional yang telah mereka saksikan dahulu. Kegemilangan pembangunan negara, kerancakkan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat.

Sehubungan itu, pilihan raya kali ini adalah peluang untuk seluruh rakyat berganding bahu dan bersatu hati. Marilah kita bersama-sama menyelamatkan negara ini dan tidak bereksperimen dengan mereka yang tidak ada legasi rekod pembinaan negara.

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang tercinta

BN BERSAMA RAKYAT SEMASA SUSAH DAN SENANG

Rekod perkhidmatan Barisan Nasional telah membuktikan pimpinannya sentiasa kekal setia. Keberadaan pemimpin Barisan Nasional di tengah-tengah masyarakat, semasa susah dan senang, membuktikan kami amat dekat dengan denyut nadi rakyat.

Kebanyakan pemimpin Barisan Nasional bukanlah elitis. Sebaliknya Barisan Nasional dengan pelbagai latar belakang kepimpinan, lebih mesra dan mudah didampingi oleh rakyat. Kepimpinan Barisan Nasional tidak hanya muncul lima tahun sekali. Sebaliknya jerih payah rakyat tidak kira waktu dan musim, sentiasa mendapat sentuhan kepimpinan Barisan Nasional.

Selain pembangunan yang menjadi mercu kerancakan ekonomi di kota raya dan bandar-bandar besar, Barisan Nasional tidak pernah melupakan kesejahteraan dan kemakmuran luar bandar.

Sebagai contoh, projek FELDA dan FELCRA, pelbagai sokongan terhadap golongan petani dan nelayan, adalah bukti kukuh bagaimana Barisan Nasional empati dengan keadaan rakyat dan pembangunan luar bandar.

Saudara saudari sekalian,

GELOMBANG BIRU YANG LEBIH KUAT

Dengan izin Allah, Malaysia akan mengakhiri tahun ini dengan gelombang biru yang lebih gah dari penyokong dah ahlinya.

Pilihan Raya Umum Ke-15 akan menjadi platform untuk Barisan Nasional, menguatkan teras atau asasnya untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

Dengan sokongan dan dukungan saudara-saudari semua, In Sha Allah, Barisan Nasional akan bangun dengan lebih kuat walaupun telah jatuh pada PRU14.

Saudara saudari para pengundi yang saya hormati

KESTABILAN

Barisan Nasional menjanjikan kestabilan buat negara. Janji kita ini bersandarkan rekod kita selama ini dalam proses membuat keputusan. Barisan Nasional sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif. Keputusan kita adalah keputusan bersama bersandarkan kepada keutamaan, kebenaran dan konsisten.

Inilah yang diperlukan oleh negara. Inilah juga pendekatan kami selama in,i yang mampu menjamin kestabilan dapat dipelihara. Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk menarik semula keyakinan pelabur luar, keyakinan rakyat negara sendiri, bahawa mereka mempunyai masa hadapan yang cerah.

Yakinlah, amalan yang dipratikkan dalam Barisan Nasional, tiada seorang pemimpin pun lebih tinggi daripada parti dan rakyat. Dengan prinsip ini, Barisan Nasional mampu kekal teguh walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan politik.

Rakyat Malaysia yang dikasihi

NARATIF YANG KONSISTEN DAN KEPIMPINAN YNG PADU.

Barisan Nasional adalah parti yang meraikan pelbagai pandangan namun tetap berasaskan kepada keputusan kolektif.

Barisan Nasional memegang matlamat yang sama, iaitu keperluan rakyat mesti didahulukan walaupun terdapat perbezaan pendapat.

Kami mempunyai barisan kepimpinan dan berpengalaman dalam mengendalikan negara dalam keadaan senang dan susah.

Pengalaman 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan, menunjukan seorang pemimpin yang tersohor sahaja, tidak mencukupi kalau ia tidak didokong oleh barisan kabinet, yang berpengalaman dan parti yang bertunjangkan akar umbi.

MAJU KEHADAPAN

Barisan Nasional kini bergerak kehadapan untuk melakukan reformasi di dalam parti dan kerajaan.

Kami terbuka dengan segala kritikan dan bersedia untuk menerima pandangan daripada rakyat.

Barisan Nasional bersedia untuk membuka lembaran baru, dengan membuat dasar-dasar yang lebih baik dan mengukuhkan pembangunan.

Kami berjanji untuk melakukan perubahan yang progresif dalam masa beberapa bulan yang akan datang. Barisan Nasional berjanji, untuk memberikan yang lebih baik kepada rakyat selepas pilihan raya ini.

Barisan Nasional juga beriltizam untuk mengangkat martabat Sabah dan Sarawak.

Kami berjanji untuk membuka ruang bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada orang Sabah/Sarawak. Ini menunjukkan kesungguhan Barisan Nasional dalam memartabatkan wilayah-wilayah di Malaysia Barat.

Kami komited kepada keperluan untuk menghidupkan semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hakikatnya, memajukan Sabah dan Sarawak juga akan membolehkan, lebih banyak peluang ekonomi yang akan membawa kembali Malaysia kepada kegemilangannya.

Saudara-saudari para pengundi sekalian

Dengan Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional atau PADU, tekad, azam dan janji kami, In Sha Allah, matlamat mencapai Kestabilan dan Kemakmuran, akan memberikan masa hadapan yang lebih baik buat Malaysia.

Dengan mandat yang mutlak daripada saudara-saudari sekalian, kita mampu membentuk sebuah pasukan kerja yang mantap dan bersedia untuk mengharungi pelbagai krisis, sama ada dalaman mahupun global. Hanya kerajaan yang kuat dan stabil sahaja akan dapat mengatasinya.

Akhir kata, saya merayu dan mengajak saudara-saudari sekalian, marilah kita bersama-sama memikul amanah dan tanggungjawab, demi Malaysia yang stabil dan makmur

Selamat mengundi dan Undilah Barisan Nasional, demi masa hadapan yang lebih cerah, buat Malaysia dan rakyatnya hidup aman dan sejahtera

Sekian, wabillahi tawfik wal hidayah wassallamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Komen