DAP seru semua pihak bertenang tunggu keputusan Agong

DAP seru semua pihak bertenang tunggu keputusan Agong

DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, proses pembentukan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih berjalan susulan tiada parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.

“Proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baru untuk negara kita namun ia adalah suatu proses yang biasa yang perlu dilalui dalam sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anthony menegaskan, DAP akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan Malaysia.

“DAP juga menyeru semua pihak dan mengarahkan semua anggota DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa

“Keamanan dan kedamaian di kalangan masyarakat kita mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara kita,” katanya. -Malaysiapost

Komen