Rosakkan bas Selangor FC, Terengganu FC kesal, mohon maaf

Rosakkan bas Selangor FC, Terengganu FC kesal, mohon maaf

TERENGGANU FC (TFC) memohon maaf kepada Selangor FC susulan insiden kekacauan dicetus segelintir penyokong mereka ke atas bas pasukan pelawat semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, pengurusan kelab itu turut melafazkan kekesalan serta mengecam tindakan oleh mereka yang terbabit.

Menurut TFC, perkara itu turut mencalar imej kelab serta penyokong Terengganu lain yang sama-sama hadir dalam memberi sokongan buat pasukan itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

“Diharap perkara ini tidak berulang pada masa akan datang kerana tahun ini tidak boleh dinafikan lagi penyokong Terengganu telah menunjukkan komitmen serta disiplin sangat baik dalam memberikan sokongan

“Sesungguhnya segelintir yang melakukan kekacauan ini tidak mewakili serta menggambarkan imej dan keperibadian keseluruhan penyokong pasukan ini,” katanya.

Sejurus berakhir aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia malam tadi, segelintir penyokong tuan rumah membuat kekacauan menyebabkan penyokong Selangor terpaksa menunggu dalam stadium bagi mengelak insiden tidak diingini.

Malah bas pasukan Selangor FC diserang dan dialing dengan objek menyebabkan beberapa bahagian cermin pecah.

Dalam aksi malam tadi, TFC menang 1-0 namun gagal layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas tewas dengan agregat 2-3. – Malaysiapost.

Komen