MCA, MIC, PBRS buat undi tak percaya terhadap Zahid

MCA, MIC, PBRS buat undi tak percaya terhadap Zahid

TIGA parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu undi tidak percaya dibuat terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Parti itu ialah MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Untuk tujuan itu, satu surat dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Surat bertarikh hari ini ditandatangani Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Surat itu disahkan diterima Ibu Pejabat BN, hari ini.

Sumber BN mengesahkan kepada Malaysiapost berhubung surat berkenaan.

Ketiga-tiga parti komponen itu membuat ketetapan undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid, yang mengkhianati keputusan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat pada 22 November 2022.

Mereka menyatakan bahawa mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada jam 10 pagi 22 November 2022 di Menara Dato Onn membuat keputusan berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan kerajaan.

“Sepuluh akuan bersumpah (SD) yang dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditarik balik setelah keputusan Dewan Tertinggi BN dibuat.

“Akan tetapi Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Istana tengah hari semalam setelah mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sebelah pagi. Dalam surat dihantar Ahmad Zahid itu menyatakan sokongan 30 Ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Ini jelas telah mengkhianati BN dan pada masa sama telah menyembah maklum keputusan BN yang salah kepada Yang di-Pertuan Agong yang dianggap sebagai satu perbuatan menderhaka kepada Raja,”kata mereka dalam surat yang tular di media sosial hari ini.

Dalam surat itu, ketiga-tiga parti komponen BN meminta Ahmad Zahid berundur secara terhormat serta-merta dan jawatan Pengerusi digantikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut surat itu, perkara berkenaan diusulkan Presiden MIC dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam, tetapi ia terganggu apabila Ahmad Zahid membenarkan Ahli Parlimen BN memasuki bilik walaupun ia belum selesai.

Sehubungan itu, surat itu menyatakan akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi enggan berundur hari ini. – Malaysiapost

Komen