MIC sahkan Zahid hantar surat sokong Anwar ke istana

MIC sahkan Zahid hantar surat sokong Anwar ke istana

PRESIDEN MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengesahkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat kepada Istana Negara berhubung sokongan Ahli Parlimen BN kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurut Vigneswaran, Ahmad Zahid mengaku menghantar surat itu selepas 10 Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membuat keputusan untuk kekal berkecuali.

“Beliau (Ahmad Zahid) mengaku menghantar surat sokong Anwar kepada Istana,” katanya dipetik Malaysiakini hari ini.

Vigneswaran bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, tular surat BN menyokong Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Surat dengan logo BN bertarikh 22 November 2022 itu ditandatangani Ahmad Zahid Hamidi yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Surat tular tiga muka surat itu antara lain memaklumkan kepada yang di-Pertuan Agong bahawa 30 Ahli Parlimen BN menyokong Pengerusi PH.

Bagaimanapun unit komunikasi BN menafikan surat yang telah tersebar itu.

Walaupun surat itu menyebut 30 Ahli Parlimen, menurut Malaysiakini, hanya 28 orang sahaja yang menandatangani akujanji itu sebelum pilihan raya umum (PRU) untuk memberi mandat kepada Ahmad Zahid mengadakan perbincangan membentuk kerjasama dengan gabungan lain.

Dua yang tidak menandatangani akujanji itu ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut sumber PH, termasuk 28 Ahli Parlimen, gabungan itu mempunyai 116 kerusi, yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Malaysiakini dipetik sebagai berkata, sumber BN mendakwa surat itu telah menyebabkan ketegangan mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu malam tadi dan terdapat percubaan untuk memecat Ahmad Zahid sebagai Pengerusi.

Bagaimanapun, ia dihalang apabila Ahli Parlimen Umno yang menunggu di luar memasuki bilik mesyuarat.

Menurut Malaysiakini lagi, mesyuarat itu juga membincangkan tawaran PH kepada BN jika mereka menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Antara tawaran itu ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio kanan Kabinet lain, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menolak saranan Yang di-Pertuan Agong agar PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan.

Awal hari ini, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa Seri Paduka telah meminta BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan semasa menghadap beberapa wakil gabungan itu di Istana Negara. – Malaysiapost

Komen