Rara mohon masa berehat, jalani rawatan akibat keguguran

Rara mohon masa berehat, jalani rawatan akibat keguguran

AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman atau Rara memaklumkan sedang menjalani prosedur dan rawatan akibat keguguran yang dialaminya ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Young Syefura berkata, beliau dinasihatkan oleh doktor untuk berehat sehingga kesihatannya pulih.

Kata beliau, seorang daripada pegawainya kini juga sedang bercuti kerana disahkan positif Covid-19 selepas pasca PRU15, Sabtu lalu.

“Bagaimanapun saya masih boleh dihubungi melalui telefon dan jika ada sebarang perkara yang memerlukan perhatian pejabat saya boleh hubungi Mandy Too 016 9228577.

“Saya mohon maaf dan mohon sedikit masa untuk berehat sebentar sehingga kesihatan saya pulih. Saya akan kembali berkhidmat untuk anda semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Young Syefura memaklumkan mengalami keguguran ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-33, 9 November lalu,

Berita sedih itu dikongsikan Rara menerusi akaun Instagram berserta gambar keputusan kit ujian kehamilan berwarna hitam putih.

Rara memaklumkan kandungannya tidak membesar selepas enam minggu.

Pada PRU15, Young Syefura meraih 25,075 undi dengan majoriti kecil, 692 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Tan Sri Liow Tiong Lai (24,383), Datuk Roslan Hassan daripada Perikatan Nasional yang meraih 16,233 undi serta dua calon Bebas, Wong Tack (798) dan Achik Khalil (168). – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Young Syefura

Komen