5 penjuru di DUN Tioman 

KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

Penyandang tiga penggal dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain akan berhadapan calon wanita tunggal – ahli jawatankuasa PAS Rompin Idayu Hashim mewakili Perikatan Nasional (PN). 

Selain itu, Pejuang meletakkan Osman Bakar, Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas, Sulaiman Bakar. 

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek yang juga Pegawai Daerah Rompin mengumumkan menerima satu kertas pencalonan baharu daripada seorang calon hari ini. 

“Calon PN, Nor Idayu memfailkan pencalonannya pada jam 9.09 pagi,” katanya di pusat penamaan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, hari ini. Ā 

Beliau berkata calon yang dicalonkan sebelum ini dan layak pada 5 November lalu tidak perlu memfailkan pencalonan semula hari ini, susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli. 

Fadzli daripada PH tidak hadir ke pusat penamaan calon dan menghantar wakil untuk membuat undian bagi menentukan susunan nama pada kertas undi. 

Nor Idayu dan Sulaiman adalah calon baharu dalam pilihan raya umum manakala Johari, Fadzli dan Osman pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.  

Pengundian bagi kerusi DUN Tioman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada mulanya dijadualkan pada 19 Nov tetapi ditangguhkan berikutan kematian Yunus. 

Beliau dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di hospital Rompin kira-kira 2.40 pagi pada 19 November lalu. 

Kerusi DUN Tioman disandang Johari selama tiga penggal sejak 2008. Pada pilihan raya umum ke-14, Johari memenangi pertarungan tiga penjuru dengan majoriti 1,280 undi.  

Pada PRU15 pada 19 November lalu, PN memperoleh 17 kerusi manakala BN memenangi 16 kerusi dan PH mempunyai lapan kerusi. Tiada parti memperoleh majoriti mudah 21 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, menyebabkan DUN Pahang digantung. 

Semalam, PH mengumumkan gabungan itu dalam peringkat lanjut perbincangan untuk membentuk kerajaan negeri baharu bersama BN di Pahang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights